Saturday, October 18, 2008

Pembinaan Keluarga Islam

Lakaran firman Allah Taala dalam gambaran suciNya ada dinyatakan dalam Surah Al-Ghaasyiyah: ayat : 8-16. Antara mafhum yang mungkin di sana boleh kita kutip bersama ialah bagaimana Allah Taala mengambarkan kepada kita hamba-hambaNya yang sering kali alpa dengan ujian dunia. Itulah gambaran halus dan cukup menawan jiwa yang suci bersih prihal keadaan syurga idaman bagi orang-orang yang beriman. Allah Taala menyifatkan syurga sebagai suatu taman nan indah yang mana ia dilengkapi dengan segala hiasan yang meransangkan pandangan dan keasyikan yang tidak melalaikan bagi mata-mata yang memandangnya. Justeru, orang-orang yang bakal menghuninya adalah insan-insan seni yang menyelami makna iman dan keagungan serta keesaan Allah SWT.
Bertitik tolak dari noktah itulah, setiap manusia mengharapkan agar ia dapat merasai syurga yang ditawarkan oleh Allah.Taala. Impian tersebut tidak mampu di capai tanpa adanya binaan titian atau jambatan ke arah itu. Sebelum mengapai keenakan syurga hakiki, orang-orang mukmin khasnya turut mengharapkan agar kenikmatan kehidupan di halaman dunia yang sementara dapat juga dikecapi. Lantaran itu, lahirlah konsep “Rumahku Syurgaku” bagi insan mukmin yang telah pun membina alam rumahtangga
"Al-Fadhil Al-Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, banyak mengutarakan kaedah pentarbiahan kepada anak-anak di dalam buku cetusan beliau iaitu “Pendidikan Anak-anak Menurut Islam”. Konsep “Rumahku Syurgaku” pada asasnya adalah suatu perencanaan keluarga ke arah mewujudkan biah atau suasana keluarga muslim yang sihat serta Islamik. Perencanaan tersebut mengambil istifadah daripada aturan kalamullah yang menyifatkan perihal keadaan syurga yang penuh kebahagiaan dan ketenangan. Biah yang solehah adalah pendorong kepada pembinaan usrah muslimah idaman. Perkataan keluarga atau usrah tidak hanya terbatas kepada kuantiti ahli yang sedikit iaitu ayah, namun ia juga termasuk kuantiti ahli yang besar yang diistilahkan sebagai keluarga besar iaitu masyarakat. Penta’arifan ini meletakkan mas’uliah kepada setiap anggota keluarga agar dapat bergandingan dan melengkapi dengan mewujudkan suasana atau biah yang solehah dalam keluarga samada keluarga kecil atau besar.
Kajian psikologi telah banyak mendedahkan bahawa kesan suasana banyak mempengaruhi individu atau masyarakat. Oleh itu, baik atau buruk suasana adalah antara penentu kepada tingkah laku, tindak balas dan sikap generasi yang akan datang. Dalam skop rumahtangga, anak-anak akan terpengaruh dengan suasana sekitar. Ibu dan bapa adalah role model atau qudwah yang bisa memandu pelayaran kehidupan rumahtangga yang dibina di samping suasana juga memainkan peranan yang cukup penting. Al-Fadhil Al-Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, banyak mengutarakan kaedah pentarbiahan kepada anak-anak di dalam buku cetusan beliau iaitu “Pendidikan Anak-anak Menurut Islam”. Beliau mengambil istifadah daripada As-Salafus Soleh. Sewajibnya buku tersebut menjadi sumber rujukan kepada ibu bapa yang ingin mewujudkan dan juga menjayakan konsep “Rumahku Syurgaku”.

No comments: