Sunday, November 16, 2008



  4. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang untuk menegakkan agama Allah dalam keadaan bersatu seperti bangunan yang kokoh.

4. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang untuk menegakkan agama Allah dalam keadaan bersatu seperti bangunan yang kokoh.

Tuesday, October 28, 2008

Ke Arah Penghayatan Islam

Sesungguhnya menjadi seorang Muslim tetapi tidak menghayati tuntutan ajaran Islam adalah tidak bermakna dan sia-sia sahaja. Namun demikian, dalam kehidupan harian di serata dunia pada masa ini, adalah amat mudah untuk kita temui mereka yang mengaku dan mengiktiraf dirinya sebagai Muslim tetapi mengabaikan tuntutan ajaran Islam sama ada berbentuk suruhan ataupun larangan. Mereka yang melakukan jenayah agama yang berat seperti berzina, minum arak, merompak, membunuh dan sebagainya adalah rata-rata terdiri dari orang Muslim. Keadaan ini sudah begitu lumrah terjadi sehingga ia tidak perlu lagi dibuktikan dengan apa juga bentuk perangkaan atau statistik tertentu.
Oleh itu, untuk tidak terus terperangkap dalam kancah sikap mengkufuri nikmat Allah dan terus melakukan kerja yang sia-sia yang seterusnya boleh menjatuhkan nama baik agama Islam itu sendiri, maka umat Islam terbabit perlu kembali menghayati secara tepat ajaran Islam dalam segenap sektor kehidupan harian mereka. Maka umat Islam yang terbabit dalam pengabaian ajaran Islam ini hendaklah berazam dengan sepenuh hati beserta jihad yang berkobar untuk segera kembali menghayati ajaran Islam. Ini adalah bertepatan dengan semangat yang terkandung dalam pengertian 'hijrah' itu sendiri seperti yang terungkap dalam sepotong hadith berikut yang bermaksud,
'Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Mekah, tetapi hijrah yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia'
Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa konsep 'hijrah' selepas pembukaan kota Mekah yang berlaku di awal sejarah tersebut, lebih merujuk kepada kerja yang mempertingkatkan penghayatan suruhan Allah dengan beserta semangat jihad dalam proses pelaksanaannya. Ia adalah satu proses hijrah atau perpindahan yang berlaku dalam diri ummah yang sentiasa cenderung ke arah penghayatan nilai positif dalam kehidupan harian mereka. Semangat 'hijrah' seumpama inilah yang perlu sentiasa dihidupkan dalam diri setiap umat Islam demi untuk mengangkat martabat diri Muslim dan agama Islam yang suci ini. Dalam konteks masa kini di mana rata-rata umat Islam terjebak dalam kemelut pengabaian pelaksanaan ajaran Islam dalam kehidupan sehari-hari maka semangat 'hijrah' sudah pasti dapat menyelesaikan permasalahan berkenaan, asalkan saja ia difahami dan dihayati dengan tepat.
Namun, istilah 'Islam' itu sendiri perlu difahami terlebih dahulu kerana bertolak dari istilah tersebutlah maka kita boleh memahami dengan tepat tentang ungkapan 'ajaran Islam' yang menjadi fokus utama di sini. Perkataan 'Islam' yang berasal daripada bahasa Arab memberi makna kepatuhan, penyerahan, ketaatan, kedamaian dan keselamatan. Justeru, sebagai satu agama, 'Islam' merujuk kepada sistem hidup yang tunduk, patuh serta terikat dengan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ataupun 'Islam' merujuk kepada gaya hidup yang pelaksanaannya berupa penyerahan dan ketaatan yang sempurna terhadap Allah s.w.t. Keseluruhan makna 'Islam' ini mengisyaratkan bahawa kepatuhan dan ketaatan yang mutlak kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya akan membawa kedamaian, keselamatan serta kesejahteraan dalam kehidupan para pengamal atau penganutnya.
Jadi, agama Islam ialah agama yang mengajarkan penganutnya supaya tunduk dan taat kepada Allah s.w.t menerusi cara dan pendekatan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Dan dengan mengikuti setepatnya tatacara tersebut maka kita pasti beroleh kedamaian dan kesejahteraan dalam menjalani kehidupan. Oleh itu, fahamlah kita sekarang bahawa ungkapan 'ajaran Islam' itu mengandungi apa yang dibawa dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Dan tentunya ia adalah segala apa yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah. Maka itu, ‘ajaran Islam’ ialah segala apa yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang terungkap dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
'Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, di mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagimana kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya. (Dua perkara tersebut ialah) Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnahku.'
Walau bagaimanapun, memandangkan sesetengah perkara dari al-Qur’an dan al-Sunnah itu berbentuk agak ringkas dan umum, sedangkan sasaran al-Qur’an dan Sunnah itu adalah makhluk yang berakal dan boleh berfikir, maka 'ajaran Islam' itu secara umumnya terungkap dalam dua tabi’i berikut:
Pertama: Tabi’i Ilahi iaitu ajaran-ajaran yang berupa sistem atau perlakuan yang secara mutlak dikehendaki olah Allah s.w.t. Sistem atau perlakuan ini wajib diikuti oleh makhluk berpandukan cara khusus seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, dalam konteks tabi’i ini, Allah menurunkan wahyu dengan gambaran yang jelas berkenaan sistem yang dikehendaki tersebut. Seterusnya memerintahkan makhluk supaya melaksanakan sistem berkenaan secara sepenuh hati dan dengan penuh keikhlasan demi mendapatkan keredhaan Allah. Termasuk di dalam sistem ini ialah sistem peribadatan seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Dalam sistem bertabi’i Ilahi ini juga, fungsi makhluk hanyalah sebagai pelaksana dan tidak lebih daripada itu.
Kedua: Tabi’i makhluk iaitu ajaran-ajaran yang berupa sistem umum yang sesetengahnya tidak ditentukan secara terperinci oleh wahyu Ilahi. Malahan wahyu hanya mengungkapkan dasar-dasar umum sahaja. Dengan kata lain, terdapat ruang-ruang yang terbuka dalam sistem umum tersebut yang memerlukan khidmat dan peranan manusia. Namun begitu, manusia tidak diberi kebebasan penuh sehingga boleh melanggar peraturan umum yang terdapat dalam kerangka besar sistem Ilahi.
Ajaran-ajaran yang terkandung di dalam tabi’i makhluk ini ialah seperti sistem politik dalam Islam. Wahyu Ilahi dalam konteks sistem politik ini, tidaklah datang dalam bentuk terperinci dari segenap seginya melainkan hanya berupa penunjuk dan ciri-ciri umumnya sahaja. Oleh itu, pemerintah sesebuah negara perlulah mengatur perjalanan dan pengurusan tugas-tugas harian kerajaannya berdasarkan ciri umum yang diberikan oleh wahyu tersebut. Di sinilah manusia perlu menyumbang kesungguhan dan ijtihad akalnya untuk memperincikan lagi arah perjalanan tugas-tugas sistem umum tersebut contohnya seperti sistem politik.
Dengan ini dapatlah dirumuskan bahawa keseluruhan 'ajaran Islam' itu terkandung dalam sumber-sumber berikut: (a) al-Qur’an dan Sunnah, yang mewakili tabi’i Ilahi, dan (b) perincian ilmu keagamaan yang dihasilkan oleh ijtihad dan kesungguhan para ulama’ sepanjang zaman, iaitu yang mewakili tabi’i makhluk.
Jelaslah bahawa penghijrahan yang perlu berlaku dalam diri sebahagian besar umat Islam masa kini ialah berhijrah atau berpindah meninggalkan tabiat atau gaya hidup yang bercanggah dengan kehendak al-Qur’an dan Sunnah yang sebahagiannya merupakan hasil perincian keilmuan yang diijtihadkan oleh para ulama’ Islam zaman berzaman.
Walau bagaimanapun, kerja atau usaha untuk menghayati kehendak al-Qur’an dan Sunnah dalam persekitaran hidup masa kini bukanlah satu perkara yang mudah. Ini kerana banyak cabaran dan halangan yang perlu diatasi dengan penuh berani dan bijaksana yang muncul dari segenap penjuru kehidupan bermasyarakat.

Friday, October 24, 2008

NEGARA ISLAM

Kebanyakan perbincangan para ulama khususnya ulama silam mengenai Fiqh Siyasah berkisar tentang bagaimanakah pentadbiran sesebuah negara menurut model negara yang didirikan oleh Rasulullah saw dan para khulafa selepas baginda. Sekiranya model itu diterjemahkan ke dalam bahasa politik moden, Fiqh Siyasah tersebut mengupas tentang bagaimanakah pentadbiran sesebuah Negara Islam.
Kupasan tentang pentadbiran Negara Islam itu bermula daripada mengupas tentang definisi Negara Islam sehinggalah kepada kewajipan jihad untuk mempertahankan kedaulatan. Demikianlah yang banyak tertulis dalam kitab-kitab turath seperti al-Ahkam al-Sultaniyah, Siyasah al-Syari'yah dan lain-lain.
Dalam konteks masa kini, selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924, para ulama khususnya para ulama haraki telah menulis pula satu lagi bentuk gerakan siyasah ketika mana tiadanya sebuah Negara Islam. Kupasan tentang Fiqh Siyasah dalam konteks itu lebih menumpukan kepada pergerakan politik yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam dalam usaha membebaskan tanahair daripada penjajah dan berusaha untuk mendapatkan kekuasaan bagi melaksanakan tuntutan Islam dalam bernegara.
Bagaimanapun di penghujung abad ke 20 dan awal abad ke 21 ini menyaksikan pula keperluan kepada satu perkembangan baru Fiqh Siyasah. Pada ketika ini perbincangan Fiqh Siyasah seharusnya pula ditumpukan kepada pentadbiran negara sebelum kewujudan Negara Islam.
Dalam erti kata yang lain, perbincangan Fiqh Siyasah yang baru ini adalah pertengahan antara Fiqh Siyasah tentang pentadbiran Negara Islam dan Fiqh Siyasah yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam. Kemenangan Gerakan Islam di beberapa negara, khususnya yang terbaru di Malaysia memperlihatkan bahawa memiliki kuasa politik belum tentu mengizinkan Gerakan Islam untuk melaksanakan sebuah Negara Islam.
Situasi seperti ini sememangnya tidak begitu dijangka kerana sebelum ini kebanyakan Gerakan Islam begitu optimis Negara Islam akan tertegak selepas memperolehi kuasa politik. Fiqh Siyasah dalam konteks situasi seperti ini sudah tentulah tidak menuruti sepenuhnya model negara yang didirikan oleh Rasulullah saw dan khulafa selepasnya.
Demikianlah juga, Fiqh Siyasah pada situasi ini tidak sekadar pergerakan politik yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam yang tidak mempunyai kuasa politik seperti sebelum ini. Fiqh Siyasah model ini mengambil amalan-amalan politik yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw sebelum Hijrah dan prinsip-prinsip pentadbiran negara oleh Rasulullah saw selepas Hijrah.
Sebenarnya dalam Sirah Rasulullah saw terdapat satu pentunjuk yang cukup penting menjelaskan tentang model Fiqh Siyasah ini. Sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda terlebih dahulu mengarahkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Penghijrahan ke Habsyah dilakukan dua peringkat yang pertama diketuai oleh Uthman Bin Maz'un (setengah mengatakan Uthman Bin Affan) dan peringkat yang kedua diketuai oleh Jaafar Bin Abi Talib. Matlamat berhijrah ke Habsyah ini yang paling utamanya ialah dakwah dan siyasah, bukan sekadar menyelamatkan diri dari seksaan. Kalangan mereka yang berhijrah ini bukan dari kalangan mereka yang ditindas oleh pembesar musyrikin Quraysh.
Yang paling menarik menurut satu riwayat yang kuat, Rasulullah saw telah mengarahkan para sahabat untuk melaksanakan Solat Jenazah ghaib ketika kemangkatan Najaashi pemerintah Habsyah. Riwayat ini secara langsung menjelaskan bahawa Najaashi adalah seorang muslim kerana Rasulullah saw melakukan Solat Jenazah ke atasnya. Di sini timbul persoalan sekiranya Najaashi seorang muslim, mengapa sebagai pemerintah Habsyah beliau tidak melaksanakan pemerintahan menurut model Negara Madinah? Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh ditimbulkan tentang peristiwa Sirah berkaitan dengan Habsyah ini, sehingga menjadi kewajipan kepada para ulama haraki masa kini untuk menerokainya.
Disebabkan terdapat Gerakan Islam hari ini yang telah meraih kuasa politik, tetapi masih terbatas kekuatannya untuk melaksanakan Negara Islam sebenarnya, maka model Negara Habsyah di bawah Najaashi ini sangat menarik untuk dikaji.
Dalam riwayat Sirah dan Hadith sememangnya terdapat beberapa petunjuk tentang model Negara Habsyah ini, antara yang terpentingnya memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab Islam secara individu dan keluarga terlebih dahulu, manakala menekankan prinsip keadilan sosial dalam konteks tanggungjawab masyarakat dan negara. Model ini boleh digabungkan pula dengan amalan-amalan politik Rasulullah saw sebelum berhijrah ke Madinah.

POLITIK ISLAM

Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan suatu peruntukan khas anugerah Allah swt kepada pimpinan negara/negeri Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya. Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w.
Kemudian diikuti pula di zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin r.a. ajma’in dan di zaman selepasnya. Fungsi dan tugasnya amat penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia.
Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum-hukum menerusi Al-siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan kerajan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil gabungan antara para ulamak dan kumpulan professional.
Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah jama’ah Islamiyah yang dilihat sebagai sebuah jamaah yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulamak dan professional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang, peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang konkrit.
Pembahagian Hukum Syarak
Sepanjang kajian kita dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘kulliyah’ iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari Kiamat.
Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan aqidah, akhlak, ibadah, undang-undang keluarga (pusaka), hudud dan qisas.
Kedua: Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘juz’iyah’.
Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.
Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau konsepnya kekal dan tidak berubah sepertimana yang berlaku selepas kewafatan baginda saw khususnya di zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a.
Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang pernah diungkapkan oleh para ulamak dengan kata mereka:
“Di sana terdapat beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada hukumnya”.
Sebagai contoh, sepertimana tindakan Saidina Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya di zaman baginda Rasulullah saw, di zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).
Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.
Pengertian Siasah Syar’iyyah
Para ulamak mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah:
1. Takrif ‘Am
Siasah Syar’iyyah mengikut takrif ‘am diertikan sebagai peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy.
Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan dan undang-undang samada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar negara.
Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan dengan siasah syar’iyyah seperti Al-Hukum al-Sultaniyah karangan Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah al-syar’iyyah fi Islah al-ra’I wa ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.
Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat jelata dalam semua aspek kehidupan.
2. Takrif Khas
Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan.
Ianya seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di dalam keadaan darurat.
Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain disebat sebanyak seratus kali.
Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah syariyyah, para ulamak memberikan beberapa contoh antaranya seperti berikut:
1.Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri yang berulang kali melakukan jenayah tersebut
2.Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan barang yang dicuri masih berada di tangannya.
Sedangkan jika menurut hukum fiqh biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah menafikan tuduhan tersebut
3.Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.
4.Penulisan mushaf di zaman Saidina Abu Bakar r.a.
5.Mengadakan jabatan-jabatan di zaman Saidina Umar r.a.
Hukum-Hukum Yang Diputuskan Menerusi Siasah Syariyyah
Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai hukum-hukum syariah. Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah yang umum sepertimana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum.
Oleh itu, penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.
Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan memastikan kemanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada sebarang kepentingan diri.
Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah syar’iyyah lebih bersifat fleksibel.
Walaubagaimanapun, para ulamak meleraikkan syarat-syarat berikut:
1.Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dankerajaan Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya.
Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut
2.Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).
3.Tiada sebarang percanggahan yang hakiki dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat’ am di setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dailil tersebut tetapi hanyalah sebagai syariat/peraturan sementara spertimana masalah penetapan harga barangataupun sedari asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan perkara berkaitan
Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siasah al-syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a. yang bermaksud: “Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh ulamak (imam) telah bersikap demikian.”

Ilmu-Ilmu Islam


Muamalat itu adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya.
Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam .
Muamalat yang dimaksudkan ialah dalam bidang ekonomi yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat.
Segala harta yang ada di alam ini samada di muka bumi, dilaut atau di dasar adalah milik Allah s.w.t secara mutlak. Manusia disuruh memiliki harta yang di sediakan oleh Allah s.w.t melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang di anugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah s.w.t dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.
Firman Allah S.W.T :
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ ذَلُولا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya : Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya) (Surah Al-Mulk Ayat 15)
Mencari harta kekayaan amat di galakkan oleh Islam,kerana harta merupakan alat bagi mencapai kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan harta tersebut seseorang itu dapat memenuhi keperluan hidupnya di samping dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap agama.
Dalam mencari harta kekayaan,umat Islam di kehendaki menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebaikan dan kebajikan untuk faedah bersama.Bagi memastikan kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh manusia dilaksanakan dengan baik dan mencapai keredhaan Allah s.w.t. Islam telah menggariskan beberapa peraturan bagi mencapai matlamat tersebut.

Penuntut Islam Di IPT


Jika kita lihat pendidikan di Malaysia sedang menuju ke era penggunaan teknologi multimedia secara menyeluruh dan ia merupakan topik perbualan yang sering hangat diperkatakan. Belum sempat kita merealisasikan impian melahirkan generasi yang mampu mencerna dan mengisi keperluan cabaran negara, sebahagian besar remaja kita telah jelas kelihatan tenggelam dalam arus perkembangan era teknologi ini. Melihatkan pembabitan bilangan remaja dalam gejala sosial turut meningkat secara mendadak. Revolusi sektor pendidikan negara kini bukan sahaja tidak berupaya menemui satu jalan penyelesaian dalam mengatasi masalah gejala sosial remaja. Kita berhendakkan kemajuan yang diasaskan kepada budaya Malaysia jati dan bukannya sebuah negara maju yang mengalami keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remajanya.
Kita merupakan sebuah negara demokrasi yang mana penduduk mahupun rakyat bebas bersuara. Tetapi dengan isu yang panas ini siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang harus dituding jari? Bukan itu yang kita mahu ketengahkan tetapi dipihak penulis sendiri berharap rakyat di negara ini perlu cakna tentang isu gejala sosial yag sukar dibendung ini. Kini, pelbagai medium perantaraan seperti telefon bimbit, internet, syarikat pengiklanan komersial berebut-berebut untuk meningkatkan produktiviti tanpa memikirkan kesan negatif terhadap masyarakat.
Apa yang hendak penulis skopkan pada hari ini adalah berkaitan dengan masalah keterlibatan mahasiswa IPT dalam gejala sosial. Kalau diimbas kembali orang yang pertama harus dipersalahkan adalah ibubapa. Hal ini berikutan, jika dikaji dengan teliti orang yang paling dekat adalah ibubapa. Jadi seharusnya peranan ibubapa harus mencorakkan anaknya dengan didikan agama yang sempurna. Justeru itu bila didikan agama diberi dengan sepenuhnya, remaja atau anak-anak boleh memikirkan perkara yang baik ataupun yang buruk ketika bercampur dengan masyarakat luar.
Ada juga sesetengah ibubapa menimbulkan ketidakpuashatian terhadap isu ini. Tetapi cuba kita fikirkan kalau golongan mahasiswa di IPT ini masih lagi terjebak dengan gejala sosial ini, bagaimanakah generasi yang akan datang? Mampukah mereka membentuk genarasi baru dengan nilai dan moral yang mereka ada? Sehingga timbul isu yang bertentangan agama yang mana ISLAM itu sendiri mendidik dengan kaedah nasihat. Jika dilihat Malaysia telah mampu membawa nama keperingkat persada antarabangsa dengan nama ISLAM HADHARI. Apa yang kerajaan bawa sebenarya? Apa yang penulis dapat simpulkan semakin banyak konsert hiburan diadakan dengan karnival Jom Heboh yang pernah diharamkan oleh mufti sebelum ini. Isu rasuah yang masih tidak berkesudahan dengan hanya menganggap satu benda yang ringan tanpa memikirkan yang mana halal dan haram.
Sehubungan dengan itu, penulis sendiri beranggapan ada institusi pendidikan memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat. Melalui sistem pendidikan, para mahasiswa akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial. Pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan mahasiswa sesuai dengan keadaan sekeliling. Kita perlu memikirkan kembali sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kita pada hari ini memandangkan isu gejala sosial remaja yang makin hari makin menular.

Thursday, October 23, 2008

Undang-Undang Islam


Isu Penubuhan Perbankan Islam Di Malaysia
Sepertimana diketahui, konsep sistem perbankan Islam mempunyai perbezaan yang amat ketara berbanding sistem perbankan konvensional. Malah perlaksanaan institusi perbankan Islam di Malaysia juga dikawalselia oleh dua akta iaitu Akta Bank Islam 1983 (ABI 1983) dan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (ABDIK 1989). Persoalan yang timbul kini ialah jika sekiranya sesebuah institusi perbankan atau kewangan itu ingin melaksanakan konsep perbankan Islam bagi operasinya, adakah ia tetap perlu memenuhi setiap syarat penubuhan sebuah perbankan Islam seperti yang telah ditetapkan oleh ABI 1983 atau ABDIK 1989 sahaja?

Jika diteliti ABI 1983, ternyata ia hanya mengehadkan pelesenan perbankan Islam kepada syarikat atau perbadanan (company) sahaja.[1] Seksyen 3(1) ABI 1983 secara jelas menyebut bahawa perniagaan bank Islam tidak boleh diuruskan di Malaysia melainkan oleh sebuah syarikat.[2] Perbadanan pula ditafsirkan oleh Seksyen 2 ABI 1983 sebagai “perbadanan mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh Akta Syarikat 1965“. Oleh kerana itulah syarikat yang bukan di bawah Akta Syarikat 1965[3] tidak akan diberi lesen untuk beroperasi sebagai Bank Islam.

Hal ini menyebabkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) tidak dibenarkan beroperasi seperti Bank Islam semata-mata kerana Bank Rakyat tertakluk kepada Akta Persatuan Koperasi 1993 dan Akta Bank Rakyat 1978.[4] Apa yang jelas, sememangnya Bank Rakyat sewajarnya diiktiraf sebagai Bank Islam kedua selepas Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kerana telah berurusan mengikut konsep Syariah sejak tahun 1993 lagi.[5] Malah ia telah menjadi antara pemangkin sektor perbankan Islam yang utama dan terunggul di Malaysia.[6]

Malah hal ini turut telah diulas oleh seorang pakar kewangan Islam, Wan Abdul Rahim Kamil dengan katanya : “Penubuhan Bank Muamalat sebagai bank Islam kedua adalah sangat mengejutkan kerana Bank Rakyat telah disangka untuk menyandang kedudukan tersebut. Tetapi mungkin cadangan itu harus dipinggirkan kerana Bank Rakyat adalah tertakluk kepada Akta Koperasi”[7]

Jelas bahawa meskipun kerangka perundangan di Malaysia memperuntukkan bahawa hanya dua sahaja akta yang mengawalselia institusi perbankan Islam di Malaysia iaitu ABI 1983 dan ABDIK 1989, namun terdapat juga statut lain yang membolehkan perbankan Islam beroperasi tanpa melibatkan dua akta tersebut. Isu yang timbul ialah mengapa wujudnya ketidakseragaman ini? Sememangnya diketahui bahawa perlesenan perbankan Islam hanyalah kepada syarikat atau perbadanan sahaja.

Namun adalah wajar sekiranya perlesenan tersebut turut meliputi institusi lain yang tidak dianggap sebagai syarikat atau perbadanan misalnya seperti Bank Rakyat. Ini penting kerana dengan menyeragamkan kesemua institusi perbankan Islam, ini membolehkan segala proses pengawasan dan penyeliaan operasi dapat dikawal sepenuhnya khusus oleh Bank Negara Malaysia dan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan sahaja. Maka disebabkan itulah Bank Rakyat kini hanyalah dianggap sebagai bank yang mengamalkan konsep perbankan Islam sahaja dan bukanlah dianggap sebagai sebuah institusi perbankan Islam di Malaysia

Ekonomi Islam

Malaysia, Arab Saudi Kekal pasaran terbesar Dunia Aset Islam
Malaysia dan Arab Saudi masih merupakan dua pasaran terbesar di dunia bagi aset pengurusan Islam yang kini mencecah kira-kira AS$1.34 bilion (RM4.35 bilion). Secara keseluruhannya, dana pelaburan berkonsep syariah di Negara Teluk dan Asia Timur kini mencecah AS$267 bilion (RM868.15 bilion), demikian menurut akhbar Arab Saudi Dar El Hayah yang memetik laporan Dana dan Pelaburan Islam Ernst & Young 2008 (IFIR) yang diterbitkan semalam.

Laporan itu diterbitkan sempena Persidangan Dana dan Modal Islam yang berakhir Selasa di Manama, ibu negara Bahrain.

Laporan itu merekodkan lebih 500 dana menepati Syariah diuruskan di seluruh dunia sehingga 31 Mac 2008. Menurut laporan itu, terdapat sebanyak 134 dana bersama Islam di Malaysia, yang mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan aset dana pelaburan di Malaysia, manakala Arab Saudi sebanyak 120 dana atau 55 peratus daripada keseluruhan dananya.

"Namun, kedua-dua pasaran ini perlu cara berbeza dan lebih kreatif dalam mengatur strategi pelaburan" kata laporan itu.

"Jika di Arab Saudi, produk kewangan Islam masih merupakan alternatif selain sistem kewangan konvensional, di Malaysia pula, ia telah diterima pakai secara meluas. Bermakna, para pelabur sedia berurusan dalam kedua-dua jenis produk kewangan tersebut, sama ada konvensional mahu pun yang menepati hukum syarak", kata laporan itu.

"Menariknya, kepelbagaian sektor aset Islam di Malaysia telah mewujudkan suasana pelaburan Islam yang berdaya saing dan mampu menarik ramai pelabur termasuk yang bukan Islam", kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Ernst & Young Bahrain, Sameer Abdi berkata, negara Teluk kini sedang menikmati perolehan minyak dan akan kembali menarik lebih banyak dana Islam di peringkat global.

"Pertumbuhan tersebut masih di peringkat pertama," katanya, yang mengulas laporan IFIR.
Bagaimana pun, beliau mengakui bahawa sektor dana Islam di negara Teluk perlu dipelbagaikan dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing.

Wednesday, October 22, 2008

Pendidikan Anak-Anak.

Antara Peranan Seorang Ayah.
Keluarga mempunyai peranan penting dalam pendidikan, baik dalam lingkungan masyarakat Islam maupun non-Islam. Karena keluarga merupakan tempat pertumbuhan anak yang pertama di mana dia mendapatkan pengaruh dari anggota-anggotanya pada masa yang amat penting dan paling kritis dalam pendidikan anak-anak.

Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [Qs. At-Tahrim: 6]Anak adalah permata. Permata yang tiada tandingnya. Tapi adakah kita menyayanginya? Bagaimana bentuk kasih-sayang orang tua kepada anak menurut Islam?

Disini dinyatakan antara peranan sebagai seorang ayah terhadap anak-anaknya. Pertamanya, memberinya ibu yang baik. Kedua, memberinya lingkungan yang baik. Ketiga, memberinya pendidikan yang baik. Maka dari itu, seorang ayah hendaklah mendirikan rumahtangga dengan wanita yang sholihah dan mendidiknya agar menjadi isteri dan ibu yang sholihah. Dan yang paling penting dan utama adalah memberikan pendidikan kepada anak dengan pendidikan yang baik menurut Islam.

Apa yang jelas, memberikan pendidikan akademik dan juga praktikal kepada anak merupakan tanggungjawab seorang ayah. Seorang ayah yang baik akan melengkapi dirinya dengan ilmu-ilmu agama. Sebab dalam ilmu agama terdapat ilmu dari berbagai aspek kehidupan, termasuk ilmu mendidik anak. Itulah bezanya agama Islam dengan agama-agama. Salah satu pendidikan praktikal contohnya adalah seperti dalam salah satu hadits yang mana Nabi bersabda: “Perintahkanlah anak-anakmu yang telah berumur 7 tahun untuk mendirikan shalat. Dan pukullah anakmu jika dia meninggalkan sholat, padahal umurnya sudah 10 tahun.”

Hal ini menunjukkan bahawa Islam menitik beratkan dan memberi garis panduan yang jelas terutama kepada seorang ayah seperti yang diterangkan diatas dalam memberikan pendidikan yang baik dan sempurna terhadap anak.Walaubagaimanapun peranan sebagai seorang ibu tidak dinafikan juga dalam membantu seorang ayah memberi pendidikan terbaik terhadap anak-anak.

Monday, October 20, 2008

Akidah Islam



Elak Sambut Valetine's Day

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an. Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing.

Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewidewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.

Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St.
Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta Tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud.;

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Saturday, October 18, 2008

Pembinaan Keluarga Islam

Lakaran firman Allah Taala dalam gambaran suciNya ada dinyatakan dalam Surah Al-Ghaasyiyah: ayat : 8-16. Antara mafhum yang mungkin di sana boleh kita kutip bersama ialah bagaimana Allah Taala mengambarkan kepada kita hamba-hambaNya yang sering kali alpa dengan ujian dunia. Itulah gambaran halus dan cukup menawan jiwa yang suci bersih prihal keadaan syurga idaman bagi orang-orang yang beriman. Allah Taala menyifatkan syurga sebagai suatu taman nan indah yang mana ia dilengkapi dengan segala hiasan yang meransangkan pandangan dan keasyikan yang tidak melalaikan bagi mata-mata yang memandangnya. Justeru, orang-orang yang bakal menghuninya adalah insan-insan seni yang menyelami makna iman dan keagungan serta keesaan Allah SWT.
Bertitik tolak dari noktah itulah, setiap manusia mengharapkan agar ia dapat merasai syurga yang ditawarkan oleh Allah.Taala. Impian tersebut tidak mampu di capai tanpa adanya binaan titian atau jambatan ke arah itu. Sebelum mengapai keenakan syurga hakiki, orang-orang mukmin khasnya turut mengharapkan agar kenikmatan kehidupan di halaman dunia yang sementara dapat juga dikecapi. Lantaran itu, lahirlah konsep “Rumahku Syurgaku” bagi insan mukmin yang telah pun membina alam rumahtangga
"Al-Fadhil Al-Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, banyak mengutarakan kaedah pentarbiahan kepada anak-anak di dalam buku cetusan beliau iaitu “Pendidikan Anak-anak Menurut Islam”. Konsep “Rumahku Syurgaku” pada asasnya adalah suatu perencanaan keluarga ke arah mewujudkan biah atau suasana keluarga muslim yang sihat serta Islamik. Perencanaan tersebut mengambil istifadah daripada aturan kalamullah yang menyifatkan perihal keadaan syurga yang penuh kebahagiaan dan ketenangan. Biah yang solehah adalah pendorong kepada pembinaan usrah muslimah idaman. Perkataan keluarga atau usrah tidak hanya terbatas kepada kuantiti ahli yang sedikit iaitu ayah, namun ia juga termasuk kuantiti ahli yang besar yang diistilahkan sebagai keluarga besar iaitu masyarakat. Penta’arifan ini meletakkan mas’uliah kepada setiap anggota keluarga agar dapat bergandingan dan melengkapi dengan mewujudkan suasana atau biah yang solehah dalam keluarga samada keluarga kecil atau besar.
Kajian psikologi telah banyak mendedahkan bahawa kesan suasana banyak mempengaruhi individu atau masyarakat. Oleh itu, baik atau buruk suasana adalah antara penentu kepada tingkah laku, tindak balas dan sikap generasi yang akan datang. Dalam skop rumahtangga, anak-anak akan terpengaruh dengan suasana sekitar. Ibu dan bapa adalah role model atau qudwah yang bisa memandu pelayaran kehidupan rumahtangga yang dibina di samping suasana juga memainkan peranan yang cukup penting. Al-Fadhil Al-Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, banyak mengutarakan kaedah pentarbiahan kepada anak-anak di dalam buku cetusan beliau iaitu “Pendidikan Anak-anak Menurut Islam”. Beliau mengambil istifadah daripada As-Salafus Soleh. Sewajibnya buku tersebut menjadi sumber rujukan kepada ibu bapa yang ingin mewujudkan dan juga menjayakan konsep “Rumahku Syurgaku”.

Tuesday, October 7, 2008

Ahlan Wasahlan

Salam ukhuwwah fisabilillah dan salam ta'aruf kepada sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, marilah sama2 kita melayari voice islamic.....